Guna Kaedah Digital Pasarkan Produk

PUSA: Peserta Kursus Pemulihan Dan Pemerkasaan Usahawan Kawasan Beting Maro diharap memanfaatkan ilmu diperolehi dari kursus tersebut untuk memasarkan produk yang mereka usahakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor berkata beliau juga mahu para peserta kursus memasarkan produk mereka dengan menggunakan pemasaran secara digital.

Katanya, kerajaan sentiasa mencari jalan bagi menjadikan kawasan DUN Beting Maro sebagai bakul makanan atau ‘Food Basket’ dalam usaha membantu para usahawan.

Ujar Razaili, semasa lawatan di Kuala Lumpur baru-baru ini, beliau telah berjumpa dengan beberapa usahawan untuk mendapatkan input yang boleh bagi diketengahkan kepada usahawan di Beting Maro dalam usaha membantu mereka.

“DUN Beting Maro mempunyai produk gula apong yang mana ianya mempunyai peluang besar untuk dikembangkan.

“Kerajaan telah menyediakan banyak bantuan kepada usahawan melalui agensi-agensi dalam kerajaan dalam usaha membantu para usahawan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Syarikat Mutiara Consultancy kerana sudi berkongsi ilmu kepada para usahawan.

Terdahulu, Pengarah Urusan Mutiara Consultancy Dr Mohamad Tarudin Yasin berkata kursus ini telah diadakan selama dua hari itu bertujuan memberi pendedahan kepada para peserta di kawasan Beladin dan Pusa agar mereka dapat bangun semula setelah negara dilanda wabak Covid-19.

Katanya, pihak kerajaan telah melantik Syarikat Mutiara Consultancy untuk mengadakan kursus usahawan bagi membantu serta berkongsi kaedah baru dalam meningkatkan ilmu kepada usahawan dalam menempuhi era digital pada masa kini.

Menurutnya lagi, beliau telah membawa pakar IT dan motivasi dengan memberi pelajaran penggunaan digital kepada para peserta kursus untuk memasarkan hasil produk mereka. – EDISI UKAS

Search