JUMAAT, 9 FEBRUARI 2024
BETING MARO: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu peka dengan isu semasa yang melanda negara kerana dunia semakin maju.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor berkata, KMKK juga merupakan mata dan telinga pihak kerajaan untuk membantu rakyat di peringkat akar umbi serta memberi perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat.
Katanya, KMKK juga perlu menggunakan koperasi dalam membangunkan produk hasil tani bagi meningkatkan pendapatan rakyat setempat.
“Pertanian merupakan satu pelaburan yang baik untuk diteruskan bagi meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian bercakap dalam Perjumpaan KMKK Betong Bersama ADUN di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau juga meminta agar KMKK merancang, mencadang program dan aktiviti yang sesuai untuk membantu serta memberi manfaat kepada rakyat di kawasan masing-masing seiring dengan kehendak kerajaan Sarawak.-EDISI UKAS