RABU, 16 JUN 2021
PUSA: Masyarakat di Pusa yang belum mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 disaran agar segera berbuat demikian menggunakan pelbagai kaedah yang disediakan.
Saranan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor selepas mendapati peratusan yang mendaftar sebaga penerima vaksin di kawasan itu masih rendah.
“Mereka yang belum mendaftar segeralah mendaftar sebagai penerima vaksin. Kita dah minta Pejabat Daerah bersama pihak KKM supaya buat pendaftaran secara manual dalam masa terdekat untuk menambah jumlah mereka yang sedia divaksinasi.
“Ini penting kerana kita mahu mewujudkan imuniti kelompok. Ia perlukan kerjasama. Jadi saya harap Ketua Masyarakat dapat memaklumkan kepada penduduk siapa yang belum mendaftar untuk berbuat dengan segera,” katanya semasa melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kampung Kalok, Pusa pada Selasa.
Razaili bagaimanapun yakin kesedaran penduduk di situ akan pentingnya pengambilan vaksin semakin tinggi berdasarkan kepada jumlah kehadiran yang ramai sepanjang dua hari program vaksinasi.
Katanya, kerjasama diberikan itu sangat penting dan akan membantu mewujudkan imuniti kelompok di kawasan itu.
Dalam lawatan itu, Razaili turut menyumbang dua unit komputer riba dan dua unit telefon bimbit untuk kegunaan PPV Kampung Kalok, Pusa.
Sementara itu, Pegawai Perubatan Klinik Pusa, Dr Nur Izzati Abdul Rahim memberitahu tidak berlaku pembaziran dos vaksin di situ kerana penduduk datang mengikut temu janji yang ditetapkan.
Seramai 400 orang penerima vaksin pada hari kedua program itu yang melibatkan warga emas dan orang awam.
Dalam pada itu, Razaili turut meninjau proses pemberian vaksin di PPV Dewan Masyarakat Beladin kepada 400 penerima melibatkan warga emas dan orang awam.
Beliau turut menyumbang dua unit komputer riba dan dua unit telefon bimbit untuk kegunaan di PPV berkenaan. – EDISI UKAS